Pada awal tahun 2003 salah sebuah pertubuhan Islam yang elit dan ekslusif pernah mengundang penulis untuk memberikan sedikit penerangan mengenai isu Palestin. Sessi penerangan ini agak berbeza dengan sessi-sessi penerangan lain yang pernah penulis sampaikan. Ini kerana majoriti audien yang mendengar penerangan tersebut adalah mereka yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka. Maknanya sessi tersebut terpaksa dikendalikan di dalam bahasa Inggeris. Maknanya juga para audien adalah mereka yang mempunyai tahap pemikiran dan pembacaan yang lebih dari audien-audien yang tidak berupaya berbahasa Inggeris. Itu adalah persepsi, adakah persepsi seumpama itu benar, tidak selalunya...

Isi kandungan penyampaian tetap sama di mana-mana sahaja. Isu Palestin dari kaca mata Islam, sejarah isu tersebut, kondisi terkini dan apakah langkah yang boleh kita sebagai umat Islam di Malaysia boleh lakukan. Persoalan apa yang kita boleh lakukan sering mengundang perbincangan-perbincangan retorik dan kadang kala menyakitkan hati. Setiap manusia mempunyai pemikiran dan cara berfikir yang berbeza dengan orang lain. Ada yang degil, ada yang terbuka, ada yang suka berbincang, ada yang dungu dan ada juga yang tidak suka langsung memikirkan apa-apa yang mereka rasakan tiada kena mengena dengan diri mereka. Antara resolusi yang sering menimbulkan perbincangan dan juga mengundang penentangan ialah seruan Dr Yusuf al-Qaradhawi, Seyikhul Azhar dan juga ulama-ulama dari Pakistan untuk memboikot barangan syarikat-syarikat pro Zionis, barangan Israel dan juga barangan Amerika.

Barangan Israel ramai yang setuju (jika tidak ada ijmak pun) untuk diboikot, syarikat-syarikat pro Zionis juga masih ramai yang setuju, tetapi bila tiba kepada syarikat-syarikat Amerika...ramai yang binggung dan ada yang membantah dan tidak bersetuju. Kembali kepada sessi penerangan yang telah disentuh awal-awal tadi, ianya juga berakhir dengan penolakan terhadap isu boikot. Seorang wanita dalam usia awal 40-an, berkarier dan perasan dirinya pandai telah menyuarakan bantahannya terhadap penulis yang dianggapnya sebagai “typical” ustaz yang berfikiran kolot. Dia bebas untuk mempunyai persepsi yang dangkal sedemikian. Dia hanyalah insan dungu yang menjadi mangsa keadaan, mangsa propaganda media dan keegoan dirinya, dan juga mangsa sikap keras kepala dan kolot para asatizah di Malaysia yang sentiasa merasakan kata-kata mereka adalah wahyu yang tidak boleh dipersoal apatah lagi ditolak.

Antara kata-kata wanita tersebut, “Kita tidak wajar menyama ratakan semua orang Amerika, anda perlu tahu wujudnya minoriti muslim di sana. Keluarga saya ada yang menetap di sana dan berwarga negara Amerika walaupun mereka muslim!”. Tambahnya lagi : “Menganggap semua Amerika kafir dan jahat adalah tidak patut dan satu tanggapan tolol!”. Saya agak kebinggungan memikirkan kata-katanya. Saya bertanyakan adakah saya mengatakan sedemikian. Dia menjawab, tidak, tetapi kata-kata saya menjurus kepada kesimpulan tersebut. Saya agak kagum dengan wanita ini, bukan hanya sekadar dia tidak faham apa yang saya katakan, malah dia berbakat untuk menjadi ahli nujum sehebat nujum Pak Belalang filem P. Ramlee. Dia boleh menganggak apa yang saya ingin katakan, walaupun saya pun tidak pernah terfikir sejauh itu...hebat persepsi wanita ini, ternyata telahan bongoknya itu salah sama sekali dan juga mempamerkan kedangkalan pemikirannya dan kekuatan keegoan nafsu kewanitaannya. Biasalah wanita berkarier...bisik naluri chauvinisme kejantanan saya!

Saya bersimpati terhadap wanita ini dan juga mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Bukan kerana bakatnya menjadi ahli nujum yang gagal itu, tetapi kerana kegagalan memahami erti, kesan dan nilai mem“boikot” produk sesebuah negara, syarikat mahupun sesebuah kuasa. Saya merasa sedih bila ada umat Islam yang skeptik terhadap usaha boikot yang dilaungkan oleh sesetengah ulama, pemikir, gerakan bukan hanya Muslim malah sesetengah golongan berhaluan kiri. Pada mereka tindakan boikot adalah sesuatu yang tiada impak, sesuatu yang sia-sia, malah sesuatu yang hanya bersifat retorik. Lebih lucu dan menggelikan isi perut apabila seorang rakan saya yang mungkin tidak sefesyen dengan wanita tersebut tetapi merupakan seorang idealis Hizb al-Tahrir yang mengatakan seruan boikot adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak syar’ie selagi tidak wujud khalifah. Baginya hanya khalifah sahaja yang layak menyeru umat Islam untuk boikot, para ulama seperti al-Qaradawi, Syeikh al-Azhar dan lain-lain lagi adalah “Kalam Faarigh” (kata-kata kosong). Angan-angan sedemikian adalah sesuatu yang lazim dan normal bagi gerakan-gerakan masionic yang menantikan pemimpin yang ditunggu mereka mimpikan untuk menyelesaikan segala permasalahan dunia. Sama seperti para Yahudi ortodoks yang menantikan kedatangan Messiah mereka.

Sayangnya golongan seperti wanita tersebut tidak pernah atau mungkin tidak faham kejayaan golongan pemberontak kulit putih Amerika yang telah memboikot produk Inggeris sekitar kurun ke-18 yang diketuai oleh Samuel Adam. Peristiwa Boston tea party pada Disember 1773 juga merupakan salah satu usaha pemboikotan yang berjaya di dalam sejarah. Dia juga mungkin terlampau jahil untuk mengetahui kejayaan boikot rakyat India era Gandhi terhadap barangan buatan British. Dia juga mungkin tidak perasan kesan pemboikotan dunia terhadap rejim Apartheid selepas Mahkamah Dunia (ICJ) memutuskan ke“tidak halal”an pendudukan rejim tersebut ke atas Namibia yang telah membawa kepada kejatuhan rejim tersebut selepas jangka masa yang tidak berapa lama.

Mungkin juga mereka yang bersikap skeptik terhadap usaha boikot memikirkan apalah nilai pemboikotan seorang dua, ataupun sekumpulan rakyat Malaysia terhadap barangan Amerika berbanding dengan ekonomi gergasi mereka. Atau juga mereka pelik, apakah hubungannya Amerika dengan isu Palestin untuk mereka diboikot. Jika menurut wanita tadi, usaha boikot tersebut, jika dapat menjejaskan ekonomi Amerika, ianya juga akan menjejaskan umat Islam yang tinggal di Amerika. Kita tidak boleh membiarkan saudar seIslam kita turut menerima nasib yang malang, ujar dia dengan penuh keyakinan!

Berkaitan alasan pertama tentang kesan pemboikotan sekumpulan kecil, ianya memang tiada kesan dalam tempoh yang singkat. Walau bagaimanapun jika golongan tersebut berjaya memperhebatkan kempen mereka dan mengimpot ide tersebut ke pemikiran majoriti rakyat, ianya lambat laun akan membawa kepada “Public opinion”, apatah lagi jika kempen tersebut dilakukan oleh pihak berkuasa. Jangan terbayangkan hanya Malaysia, bayangkan jika ianya dilakukan secara berkumpulan dan berjaya menguasai “Public opinion” dunia. Tidak kiralah samada usaha boikot itu atas dasar kemanusiaan mahupun di atas dasar Islam, yang penting lambat laun ekonomi Amerika akan terjejas, begitu juga ekonomi Israel. Jika ekonomi Amerika terjejas, jika syarikat-syarikat pro-Zionis terjejas, dengan apakah mereka dapat membekalkan senjata kepada rejim Israel?. Keupayaan mereka, terutamanya Amerika membekalkan senjata-senjata canggih dan terkini kepada Amerika adalah kerana kekuatan ekonomi mereka. Syarikat-syarikat pro-Zionis pun dapat membekalkan “zakat” kepada rejim Zionis juga kerana kekuatan ekonomi mereka. Jika kekuatan tersebut dapat dilumpuhkan pasti mereka akan hilang punca untuk membekalkan sumber dana kepada rejim Zionis Israel.

Alasan kedua pula, berkaitan hubungan Amerika dengan Israel. Jika ada sesiapa yang menafikan hubungan intim di antara Amerika dengan Israel dan juga dokongan Amerika melalui dasar luar mereka terhadap keganasan Israel, mereka umpama menafikan kemunculan matahari di waktu siang dan juga kegelapan adalah tanda waktu malam. Lebih daripada 40 veto telah digunakan oleh Amerika di dalam perhimpunan-perhimpunan Majlis Keselamatan (Security council) PBB jika ada sahaja usul untuk mengenakan tindakan terhadap keganasan Israel. Dari segi bantuan persenjataan pula, ianya adalah rahsia yang terbuka dan diketahui oleh mereka yang bernyawa di milenium ini, kecuali wanita yang bertanya itu sahaja. Lihatlah keputusan Majlis Umum (General Assembely) PBB pada bulan Julai 2004 yang mengutuk pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat dan gesaan terhadap Israel supaya tunduk terhadap keputusan Mahkamah Dunia (ICJ) untuk merobohkan tembok tersebut. Amerika berdiri menentang keputusan 150 negara dunia yang lain. Ataupun veto yang mereka gunakan pada persidangan Majlis Keselamatan pada masa-masa lalu jika ianya berkaitan dengan gesaan, kutukan ataupun paksaan ke atas rejim Zionis kesayangan mereka.

Rasional juga pemboikotan terhadap produk syarikat-syarikat Amerika dan juga pro Zionis di tanah air kita adalah untuk memberikan paksaan terhadap syarikat-syarikat tersebut untuk merubah polisi mereka. Lihat kejayaan kempen boikot di Mesir, Saudi dan beberapa negara teluk yang telah memaksa pengusaha-pengusaha KFC di sana untuk membuat kempen derma untuk rakyat Palestin dari setiap jualan mereka demi menyelamatkan perniagaan mereka yang terjejeas teruk hasil kempen tersebut. Sekurang-kurangnya adalah inisiatif mereka untuk mengubah pendirian mereka terhadap isu Palestin. Kita juga berharap jika kempen boikot ini benar-benar dijalankan secara meluas di negara-negara umat Islam ianya akan membuatkan syarikat-syarikat gergasi Amerika menjadi “pressure group” kepada kerajaan mereka untuk merubah polisi luar mereka terhadap isu Palestin. Bukankah ini satu kejayaan?, sayangnya pemikiran rakyat Malaysia tidak sampai ke sini, kerana mereka tidak dilatih untuk berfikir secara global. Yang penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia adalah hiburan, hiburan dan hiburan. Mereka tidak terlepas dari pemikiran dunia ketiga yang sentiasa tunduk takut dan bergantung kepada kuasa-kuasa besar. Merasa apa yang dari barat itulah yang paling baik di dunia, dan barang siapa yang membuat kritikan terhadap barat adalah kolot, dungu dan taksub.

Teringat penulis kepada hujah seorang anak murid yang menentang kempen boikot barangan Amerika dan syarikat-syarikat pro Zionis: “Kalau kita tak beli barangan Amerika, mati kebulur dan berbogellah kita!”. Begitulah berjayanya media dan juga proses indoktrinisasi AS ke atas rakyat Malaysia!
Ustaz Mazslee Malik

CABARAN WANITA MUSLIM

by Mahasiswa Penggerak | 10:30 AM in | comments (0)

Peranan wanita dalam gerakan dakwah

Wanita seharusanya memainkan peranan dakwah yang lebih berkesan dalam masyarakat. Ini memandangkan kerana:

potensi mereka sebagai hampir separuh daripada populasi,

kedudukan mereka sebagai ibu yang berterusan mendampingi anak-anaknya,

penglibatan mereka sebagai isteri yang mampu mewujudkan sistem sokongan kepada perjuangan suami-isteri,

peranan mereka sebagai pembawa lambang Islam melalui pakaian mereka

potensi keintelektualan mereka yang mampu membawa risalah Islam di peringkat mental yang tinggi dan membentuk ummah yang bertaqwa, melaksanakan tugas dan tanggungjawab komunikasi efektif antara individu

berfikir tinggi, kreatif, kritikal dan analitikal

menyelesaikan masalah dan konflik secara bijaksana.

Maka, setiap wanita seharusnya melibatkan diri dalam organisasi dakwah se-awal yang mungkin supaya pengalaman berorganisasi dalam dapat mendedahkan kepada pelbagai kemahiran kepimpinan Islam tidak menghalang wanita daripada berinteraksi dengan kaum lelaki dengan syarat:

maruah dan dirinya dijaga iaitu mereka tidak bersendirian di tempat yang gelap dan sunyi yang boleh mendatangkan fitnah atau menggugat keselamatannya

percakapannya tidak lemah-lembut sehingga boleh menimbulkan nafsu, pakaiannya menutup aurat dan tidak mengghairahkan

mereka berinteraksi dengan mempunyai tujuan yang khusus dan baik dan bukannya hanya untuk bersuka-ria.

Cabaran wanita dalam bidang kerjaya

Wanita muslim professional pasti melalui proses pembelajaran sama ada secara formal di institusi pengajian atau secara informal dalam satu jangkamasa yang agak lama. Islam tidak melarang wanita profesional daripada memberi partisipasi yang aktif di luar rumah selagimana martabat dan maruah mereka dijaga; keimanan dan ketaqwaan mereka tetap diperkukuhkan; dan tujuan bekerja kerana hendak mencari keredhaan Allah s.w.t. serta membantu membangunkan umat Islam yang lain. Sejarah Islam telah meriwayatkan beberapa sahabiyat yang bergerak aktif umpamanya:

Sayyidatina Khadijah bekerja sebagai peniaga

Nusaybah Ummc Ammarah berjuang semasa Peperengan Uhud

Asma' AbuBakar memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah

Sayyidatina Aisyah sebagai seorang ilmuan Quran, hadith, faraid, fiqh kedoktoran dan syair.

Penglibatan dan perkhidmatan wanita professional dalam masyarakat juga diperlukan terutamanya untuk membantu dan membangun hal-ehwal yang berkaitan dengan wanita dari segi peribadi, rumahtangga, kesihatan, pendidikan dan sosial. Contohnya memberi bantuan dan kaunseling kepada wanita yang bermasalah disebabkan penceraian, ketagihan dadah, keruntuhan moral dan seumpamanya. Sebaik-baik orang yang dapat membantu menyelesaikan masalah wanita adalah wanita sendiri. Wanita lebih memahami keperluan, cita rasa, sikap dan tingkahlaku orang sejenisnya. Ini membolehkan wanita mendapatkan penyelesaian sesuai dengan nalurinya.

Seorang wanita muslim yang ingin melangsungkan perkahwinannya mestilah dengan tujuan yang baik serta melalui proses-proses yang dibenarkan syarak umpamanya ia berkahwin dengan seorang lelaki muslim yang warak dan sekufu dengannya, meminta mahar yang tidak membebankan pihak lelaki, mengadakan kenduri yang sederhana dan tidak berunsurkan maksiat. Sebagai isteri yang solehah ia akan menjaga kehormatan dirinya serta harta suaminya dan mematuhi perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak melanggar hukum syarak. Perkahwinan yang diredhai ialah yang dilandaskan kepada agama Islam dan kebahagiaan rumahtangga dapat dikecapi dengan membina kasih-sayang, hormat-menghormati, faham-memahami dan toleransi di antara satu sama lain.
Secara tradisinya wanita memainkan dua peranan penting iaitu sebagai isteri dan ibu, dan sebagai anggota masyarakat. Wanita yang berkeluarga wajib mendapat keizinan daripada suaminya untuk bekerja di luar rumah dengan memilih kerjaya yang sesuai dengan nalurinya sehingga tidak menjejaskan sifat kewanitaan, maruah dan keselamatan dirinya. Mereka terpaksa memberikan banyak pengorbanan tenaga dan masa untuk menguruskan rumahtangga di samping menjalankan tanggungjawab di tempat kerja dan berdakwah. Oleh itu mereka perlu sentiasa tabah dan pandai menghadapi sebarang tekanan jiwa, mental dan fizikal. Untuk membolehkan mereka bergerak secara lebih efektif dan efisien mereka mesti mempunyai:

disiplin diri dan masa yang konsisten

pengurusan masa yang baik

keimanan yang tinggi.

Wanita professional yang berkeluarga juga harus meminta bantuan daripada kaum lelaki supaya mengambil bahagian yang lebih aktif untuk melaksanakan kerja rutin dan manual di rumah, lantaran mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh kaum wanita. Contohnya tugas-tugas yang memerlukan tenaga fizikal diberikan kepada kaum lelaki seperti mencuci lantai, memesin rumput, berbelanja di pasar atau kedai, dan sebagainya. Semasa ibu-ibu sibuk di dapur, para bapa bolehlah melayani anak-anak mereka, pastikan mereka sudah mandi, buat kerja sekolah dan lain-lain lagi.
Hal ini tidak lagi dipandang kekok oleh masyarakat jika dibandingkan di zaman dahulu di mana kaum lelaki yang membantu kerja-kerja rumah dianggap isterinya "queen control". Kaum bapa harus menukar sikap dengan menerima sebahagian tugas rumahtangga sebagai sebahagian tanggungjawab mereka. Anak-anak juga harus dilatih supaya lebih berdikari dan bertanggungjawab dengan meminta mereka menjalankan kerja-kerja ringkas di rumah seperti mengangkat bungkusan sampah dari dapur, menyediakan dan membersihkan tempat makan, mengangkat pinggan sendiri, terlibat dengan mengemas dan membersihkan rumah dan sebagainya.
Wanita bekerja yang berumahtangga dan mempunyai anak perlu mengatur hidupnya serta menentukan prioriti supaya perkara-perkara yang patut dilaksanakan tidak terabai. Perlu juga diingatkan bahawa masyarakat memerlukan juga khidmat dan sumbangan daripada kaum wanita dalam bidang professional, perkhidmatan dan sosial untuk melayani dan memenuhi keperluan wanita dalam pelbagai bidang sosio-ekonomi, kesihatan, pendidikan dan politik. Yang berkebolehan, berkelayakan haruslah tampil ke depan dan diberi peluang serta sokongan oleh masyarakat.
Sebagai kesimpulannya wanita Islam yang professional boleh dilihat dari sudut yang positif. Dengan adanya wanita professional kita:

menyumbang tenaga manusia untuk pembangunan masyarakat;

meningkatkan lagi status wanita dan memajukan diri kita sebagai insan intelek

menjamin bahawa hal-ehwal dan keperluan wanita amnya diberi perhatian dan layanan.

Warkah Duka Buat Adik Nurin

by Mahasiswa Penggerak | 10:30 AM in | comments (1)

Menemui Allayaramah adinda Nurin Jazlin yang kini berada di alam barzah, semoga berada di dalam keadaan yang sihat ceria dan senantiasa di bawah kasih-sayang Ilahi. Tujuan abang menghantar warkah ini kepada adik adalah sekadar untuk bertanya khabar dan mengimbau kenangan sepanjang adik meninggalkan abang dan rakyat Malaysia. Hari ini, hampir 555 hari adik meninggalkan abang dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian. Namun, tahukah adik bahawa sepanjang tempoh itu pihak polis masih tidak dapat mencari siapa pembunuh adik. Licik sungguh pembunuh sadis itu sehingga polis-polis Malaysia yang terkenal kerana kecekapannya menangani kes-kes yang berprofil tinggi dipermain-mainkan begitu sahaja.


Namun, adik jangan sesekali menyalahkan pihak polis di atas kegagalan ini. Pihak polis tidak bersalah. Mereka ada banyak kerja. Terlalu banyak dik. Untuk pengetahuan adik, semasa pilihanraya P36 Kuala Terengganu baru-baru ini hampir 6000 orang polis dikerahkan semata-mata untuk mengawal keadaan di sana. Itu angka yang rasmi. Yang tidak rasmi dengarnya melebihi 10000. Sebab itulah mereka tidak dapat fokus untuk kes adik. Lagipun mereka dibayar gaji oleh kerajaan. Bukan adik yang membayar gaji mereka. Sebab itulah mereka perlu berkhidmat untuk kerajaan.


Nanti akan ada pilihanraya kecil lagi selepas ini. Pihak polis akan menjadi sangat sibuk sampai hendak makan pun tidak sempat. Pihak polis juga perlu sentiasa memantau dan mengepung ceramah pembangkang dik. Yalah, pembangkang kan jahat. Suka merusuh. Husam pun kuat merusuh. Sebab itulah ramai polis mengepung dia semasa dia ceramah baru-baru ni. Teruk betul pembangkang ni kan dik.


Pemuda yang kena tembak dari jarak dekat oleh polis di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dulu pun jahat dik. Adik nak tahu apa kesalahan dia? Dia takbir kuat sangat masa dengar ceramah. Mana boleh takbir kuat-kuat. Mengganggu ketenteraman awam. Sebab tu polis tembak dengan peluru hidup sampai tembus ke paru-paru dia dik. Sepatutnya pemuda tersebut kena julang ‘keris telanjang’ dan jerit ‘Hidup Melayu’ macam dalam Perhimpunan Agung Perasuah. Barulah membawa keharmonian antara kaum di negara kita dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Polis pun senang hati. Pembangkang ni ada-ada saja. Tak habis-habis.


Adik pernah jumpa tak kawan adik kat sana yang bernama adik Haserawati Saridi. Dulu dia berusia 9 tahun. Dia murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tobobon. Adik tau tak Haserawati ditemui mati di kawasan semak semasa nak pergi ke sekolah dia di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu. Polis kata dia dibunuh dan dirogol juga. Kesian dia dik. Pernah tak adik jumpa dia?


Seorang lagi nama Siti Nurliyana Shamimi Rosdi. Adik pernah jumpa dia? Siti Nurliyana baru berusia 2 tahun dik. Dia telah diculik, dirogol dan dibunuh pada 6 November 2002 dan telah dijumpai dalam keadaan bogel jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Kalau adik nak tahu terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras. Dahsyat betul kan penjahat tu. Tapi abang tak pasti jika pihak polis dah jumpa dan tangkap penjenayah tu. =(


Adik sempat kenal tak dengan adik Nurul Huda Abd Ghani.. Dia murid tahun 4. Dia pun menjadi mangsa kerakusan manusia. Kalau adik nak tahu, Adik Huda dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004. Kisah ini begitu menyentap sanubari penduduk Malaysia sehingga semua orang bising. Kemudian, lama-kelamaan semua senyap kembali seperti sedia kala.


Sebenarnya dik banyak lagi kes kanak-kanak hilang dan menjadi mangsa keganasan manusia yang berhati binatang. Adik Sharlinie, adik Asmawi, dan banyak lagi kanak-kanak yang hilang belum dijumpai. Abang terfikir dalam kes kanak-kanak ni kan, sebenarnya yang bersalah adalah adik dan rakan-rakan adik tu. Kenapa? Kerana adik dan rakan-rakan adik yang menjadi mangsa bukan dari kalangan anak-anak pak menteri, dato’, datuk, tan sri, tun dan banyak lagi pembesar. Sekadar anak orang biasa, marhaen kata orang. Buang karan sahaja dik. Jika adik dan rakan-rakan adalah anak-anak pembesar negara, pasti bergegas dan bertungkus-lumus pihak polis itu.


Adik nak tahu tak masa kes adik tengah hangat dulu, Kementerian Wanita dan Keluarga cadang supaya gubal akta untuk mendakwa ibu-bapa yang dikatakan cuai sehingga anak mereka diculik dan hilang. Ketua bapak polisi negara pula kata undang-undang itu telah lama wujud. Cuma tidak dipraktikkan. Ketua bapak polisi pernah berkata “jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak”.


Senang kan menjadi pembesar. Hari-hari duduk mengangkang dalam bilik selesa dan berhawa dingin, gaji + elaun yang halal sahaja sudah menjangkau berpuluh-puluh ribu, menikmati segala kemudahan, tetapi apabila timbul permasalahan, dengan senang hati mereka memberikan cadangan sekadar untuk melepaskan diri. Semua mahu cuci tangan.


Adik tahu tak sekarang barang-barang keperluan semakin mahal. Semuanya disebabkan harga minyak naik menggila dulu. Yang naikkan harga minyak tu orang gila juga. Sekarang, apabila harga minyak turun, harga barang-barang tidak turun. Kekal mahal macam biasa. Ibu-bapa yang mempunyai banyak tanggungan terpaksa bekerja lebih masa dik. Ada yang terpaksa membuat 2 kerja dalam satu masa. Jika tidak macam mana mereka mahu menyara anak-anak mereka. Ini juga menyebabkan ibu-bapa tidak sempat untuk memantau anak-anak. Institusi keluarga semakin terabai.


Jadi, adik rasa siapa yang bersalah? Oh, yang terbaru rakyat Malaysia dapat hadiah lagi. Barangkali hadiah kerana Perak berjaya ’ditawan’. Hadiahnya tol naik 33%. Pembesar yang sedap mengangkang dalam bilik berhawa dingin tadi pasti akan berkata ”kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil”. Adik rasa harga barang akan naik tak dengan kenaikan harga tol ni. Entahlah, adik fikirlah sendiri ye.


Adik tahu apa itu PLKN? Program Laknat Kacau Negara? Eh, bukan. Adik silap tu. PLKN tu Program Latihan Khidmat Negara. Sudah ramai generasi muda daripada rakyat marhaen Malaysia meninggal dunia semasa mengikuti program tu. Yang perempuan ada dirogol. Cuba adik sebut nama-nama anak pembesar negara yang pernah diwajibkan ikut PLKN. Abang pun kurang ingatan di situ. Mungkin kerana abang dah tua. Lagi satu jika adik adalah artis di Malaysia, adik boleh tangguh pergi PLKN tau. Lebih-lebih lagi jika yang jelita dan seksi. Mungkin kerana terikat dengan penggambaran dan persembahan, maka kerajaan beri kelonggaran kepada mereka. Baik betul kerajaan kerana tidak mahu mengganggu periuk nasi rakyat mereka.


Tapi jika adik adalah Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, adik tidak boleh tangguh. Sebab apa? Sebab Ahmad Hafizal orang miskin. Dia tidak popular. Kerja pun tidak glamor. Sekadar bertani dan bersawah di bendang untuk membantu ibunya yang bekerja sebagai pembantu tadika dan adik-adiknya yang masih kecil di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis. Ayah dan ibunya dah bercerai. Jadi, dialah yang perlu membantu ibu dan adik-adiknya.


Dia didapati bersalah dan diberikan pilihan samada membayar denda RM600 atau masuk penjara 14 hari. Tapi Ahmad Hafizal pilih 14 hari penjara. Dia pilih penjara bukan kerana di penjara ada Mc Donald dik. Bukan begitu. Ahmad Hafizal pilih penjara kerana dia tidak mampu membayar denda tersebut. Bagaimana Ahmad Hafizal nak bayar denda tersebut, untuk tambang ke mahkamah pun dia tepaksa pinjam duit orang. Ahmad Hafizal hadir ke mahkamah pun tanpa diwakili peguam bela. Siapa nak bela orang miskin yang tiada duit. Menghabiskan beras sahaja dik. Tu belum kes seorang budak muslim yg berserban kerana mengikut sunnah SAW tapi bagaimana nasib malang yg menimpa dia???


Begitulah nasib marhaen di Malaysia. Sebab itu ramai yang nak jadi artis. Boleh jadi kaya. Ada yang masuk Gangstarz, Akademi Fantasia, Once In Million, Audition, My Starz LG, dan banyakkkkkk lagi. Jalan pintas syurga dunia.


Rasanya sudah terlalu panjang abang mencoretkan tinta buat adik. Abang rasa cukuplah setakat ini dulu. Jika ada masa lapang nanti abang akan bercerita lagi dengan adik. Abang doakan adik berbahagia ’di sana’, insyallah.


Oh, ya. Terlupa pula abang.. Adik ada blog juga tau. Tidak silap abang bapa saudara adik yang buat. Sebagai tanda peringatan, ingatan untuk adik dan juga tanda kegagalan pihak berwajib menangani kes adik Blog adik www.nurinjazlin.blogspot.com. Abang juga akan letakkan gambar adik pada blog abang mulai hari ini.
Sekian, terima kasih.


Ikhlas dariku,


Abang Samudera Tinta



P/s:Bersama-sama kita berdoa dan membaca surah Al-Fatihah buat Adik Nurin, Adik Huda, Adik Nurliyana dan ramai lagi mangsa keganasan kanak-kanak yang masih tidak terbela. Semoga Allah merahmati mereka dan kita semua. Al-Fatihah.





Perkongsian dari AnakJohorDiPerantauan

Kasih Sayang Rasulullah

by Mahasiswa Penggerak | 9:40 AM in | comments (0)


Seringkali kita mendengar kisah kasih sayang Rasulullah saw, kisah Rasulullah saw di saat akhir kematiannya masih bertanyakan kepada Jibrail tentang umatnya. Nabi tersenyum bila Jibrail berkata bahawa umat Muhammad saw akan dihisab terlebih dahulu daripada umat nabi-nabi yang lain dan kalimat akhir yang keluar dari mulut Nabi adalah " Umatku, Umatku, Umatku." Berikut adalah beberapa kisah berkenaan kasih dan sayang Rasullulah saw terhadap umatnya.

Suasana di Padang MasyharSetelah berada di Padang Mahsyar begitu lama dengan segala kepayahan barulah manusia teringat untuk meminta tolong kepada Nabi Adam a.s supaya disegerakan perbicaraan. Selepas 1000 tahun perjalanan, berjumpalah mereka dengan Nabi Adam a.s tetapi Nabi Adam a.s tidak dapat membantu.Kemudian mereka berjumpa pula dengan Nabi Nuh a.s dengan perjalanan selama 1000 tahun namun Nabi Nuh a.s pun tidak mampu.
Mereka berjumpa pula dengan Nabi Ibrahim a.s dengan perjalanan 1000 tahun juga namun Nabi Ibrahim a.s pun tidak mampu. Mereka berjumpa Nabi Musa a.s dengan perjalanan 1000 tahun lagi namun Nabi Musa a.s pun tidak mampu.Mereka berjumpa Nabi Isa a.s dengan perjalanan 1000 tahun lagi namun Nabi Isa a.s pun tidak mampu. Nabi Isa a.s menyuruh mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad saw. Lalu mereka berjumpa Nabi Muhammad saw dengan perjalanan 1000 tahun. Mereka berkata,

"Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah Pesuruh ALLAH, penutup para Nabi & Rasul, berilah pertolongan kepada kami agar kami segera dihisab." Jawab Nabi Muhammad saw,

"Aku akan tolong kamu semua." Rasulullah saw pun bangun dan menuju ke Arasy. Kemudian Baginda sujud kepada ALLAH YANG MAHA AGUNG dan GAGAH selama seminggu. ALLAH swt pun berfirman,

"Ya Muhammad, angkatlah kepalamu dan mintalah apa yang engkau mahu minta. Aku akan kabulkan permintaanmu."Rasulullah SAW menjawab,

"Wahai Tuhan, ini umatku, segerakan kiraan dan pengadilan ke atas hamba-hamba-MU yg telah sekian lama tertahan di Padang Mahsyar dalam keadaan terhina dan terseksa sekali."
Titian Sirat
Setelah selesai menjalani perbicaraan, mereka menuju pula ke titian yg terentang di atas Neraka Jahanam. Keadaan titian itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang. Tidak ada seorang pun terlepas daripada melintasi titian itu. Panjang titian itu sejauh perjalanan 3000 tahun, 1000 tahun naik ke atas, 1000 tahun mendatar dan 1000 tahun menurun (1 tahun di akhirat = 365 ribu tahun di dunia). Mereka yang lalu di atasnya berada dalam keadaan senyap sunyi kerana terlalu bimbang dan cemas. Hanya Rasullullah saw yang mengucapkan kalimah,

" Ya ALLAH, selamatkanlah umatku, selamatkanlah umatku, selamatkanlah umatku."
Tingkatan Neraka
Neraka ada 7 tingkat iaitu neraka Hawiah, neraka Jahim, neraka Saqar, neraka Ladza, neraka Hutamah, neraka Sa'ir dan neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah neraka yg teratas sekali, untuk umat Muhammad saw yang sombong dan matinya tidak sempat bertaubat. Apabila Rasulullah saw mendengar Jibrail mengatakan neraka Jahanam untuk umat Rasulullah saw yang sombong, Baginda pengsan. Bila sudah sedar, Baginda bersabda,

"Wahai Jibrail, masih adakah antara umatku yang masuk neraka?Jibrail menjawab,

"Ya, iaitu mereka yang melakukan dosa-dosa besar dengan sengaja seperti minum arak, judi, zina, riba', hasad dengki, pemarah, gila dunia, gila pangkat dan lain-lain."Rasulullah saw pun menangis dan Jibrail pun ikut menangis sama.

Adakah kita sayangkan Rasulullah saw sepertimanasayangnya Rasulullah saw kepada kita?

Lanjutan PPSMI

by Mahasiswa Penggerak | 8:49 AM in | comments (0)

SEMINAR HALATUJU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DALAM DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

14 MAC 2009 (Sabtu)
8.30pg-5ptg
di
Dewan Teater Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Panel

Datuk Dr Hassan Ahmad
(Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI)

Prof Dr Shaharir Mohamad Zain
(Timb. Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI)

Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan
(Institut Peradaban Melayu, UPSI)

Prof Dr Abdul Aziz Bari
(Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA)

Prof Dr Mat Rofa Ismail
(Institut Peyelidikan Matematik,UPM)


Penting!
Untuk maklumat lanjut layari : http://www.seminar-ppsmi.blogspot.com

Bilakah Lagi Kita Semua Satu Hati

by Mahasiswa Penggerak | 6:03 AM in | comments (0)


SATU HATI

Bilakah lagi kita semua satu hati

Bilakah lagi keamanan kan dikecapi

Bilakah lagi Islam kan dijulang tinggi

Bangunlah wahai ummah kita satu hati

Marilah…… bersama bersatu berjihad

Menentang kezaliman

Oh insan sedarlah

Pembalasan Tuhan pasti akan datang

Jangan takut

Jangan takut berjuanglah untuk keamanan

Lagu :
SHOUTUL HARAKAH

by Mahasiswa Penggerak | 5:52 AM in | comments (0)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Amrullah (Baitul Maqdis)


Khaibar...Khaibar... Ya Yahud. Jaisy Muhammad... Saufa Ya'ud. Hancur..Hancur Wahai Yahudi...Tentera Muhammad.. Akan kembali...


Title: Amrullah
Munsyeed: Muadz

لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي
عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ
لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ
لا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ
إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ
وَهُمْ كَذَلِكَ
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ
وَأَيْنَ هُمْ
قَالَ ‏ ‏بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ ‏ ‏وَأَكْنَافِ ‏ ‏بَيْتِ الْمَقْدِسِ

Maksud hadis:

Akan sentiasa ada wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walau dipinggirkan dan dirintangi kesusahan kecuali ujian (Ilahi) sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian.

Sahabat bertanya “Di mana mereka itu?”
Baginda menjawab “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya”


Azamin Amin Foto Wan Zahari Wan Salleh Sat Mar 07, 09 5:26:03 pm MYT


KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Sungguhpun himpunan 100,000 hari ini dianggap hebat dan luar biasa kejayaannya namun insiden kekasaran dan serangan pihak polis yang terpaksa menurut arahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik berkata serangan bertubi-tubi dan tanpa belas kasihan itu tidak mematahkan semangat tinggi dan 'membakar' hasrat rakyat khususnya para pejuang bahasa yang mahu menjujung dan memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus membantah dasar PPSMI yang diperkenal kerajaan BN.

"Saya bersyukur dan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat seluruhnya yang sanggup bersusah-payah mengharungi asakan pihak polis untuk menyampaikan suara hati mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

"Target dan hasrat kita hari tercapai dengan terkumpulnya lebih 100,000 rakyat dan serahan memo juga berjaya disampaikan," katanya ketika dhubungi Harakahdaily kira-kira jam 5.00 petang tadi.

Beliau juga kagum dengan semangat para pejuang bahasa yang menunggu dan bersama-sama rakyat berarak dari mula acara sehinggalah himpunan bersurai seusai bacaan doa di adakan di pekarangan masjid negara kira-kira 4.45 petang tadi

"Isyaratnya sudah jelas, rakyat sangat-sangat tidak puas hati terhadap dasar kerajaan BN dalam menggangkat bahasa Melayu dan meneruskan dasar PPSMI itu. Oleh itu rakyat mahukan perubahan dan tidak mahu melihat lagi kedegilan kerajaan BN.

"Justeru kita berharap agar Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja akan memperhalusi dan mempertimbangkan isu ini demi kedaulatan Bahasa Melayu di negara ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Sementara itu, beliau yang kecewa dengan sikap dan tindak tanduk polis yang sewajarnya melindungi orang awam dan para peserta daripada berlaku insiden tidak diingini sebaliknya mencetuskan suasana huru-hara mengakibatkan ramai pihak yang diasak teruk dan mengalami kecederaan.

"Asalnya polis benarkan, tiba-tiba di penghujung meraka bertindak kasar kepada orang ramai. Saya kira ini bukan kehendak mereka tetapi terpaksa ikut arahan BN yang tidak peduli keselamatan rakyat dan meremehkan suara mereka "Yang hadir ada 60, 70 tahun ke atas malah kanak-kanak juga terpaksa menghadapi gas pemedih mata dan insiden kejar-mengejar yang menjadikan suasana hiruk-pikuk sedangan PDRM berperanan menjaga keselamatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan polis yang hanya mengikut telunjuk Bn yang terang menganiaya rakyat" katanya dengan penuh semangat.

Katanya pihak polis perlu menghormati rakyat yang bersungguh-sungguh hadir untuk menunjukkan sokongan memartabatkan bahasa melayu dan bukan datang seperti 'penjenayah' yang wajar diperlakukan sebegitu rupa.

Di akhir perbualan beliau sekali lagi merasa bersyukur dan menganggap ianya satu sejarah telah tercipta membuktikan rakyat sudah berani bersuara untuk memastikan kerajaan bertindak demi kepentingan bahasa, bangsa dan agama. -azm _

sumber :http://www.harakahdaily.net


Azamin Amin Fri Mar 06, 09 9:47:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Polis telah membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok dan sebagai satu 'signal' positif bahawa pihak berkuasa sanggup bekerjasama dengan rakyat yang mahu menyuarakan hasrat mereka terhadap dasar yang cuba meminggirkan Bahasa Melayu selama ini. Bagaimanapun, permit dibenarkan untuk perhimpunan di Masjid Negara sahaja dan tidak di dua lokasi yang berbeza iaitu Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo malah perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memo juga tidak dibenarkan.

Sungguhpun begitu, Timbalan Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Suhaizan Kaiat berkata pihaknya sedang berurusan dengan pihak polis pagi ini bagi membenarkan perarakan diadakan daripada Masjid Negara ke Istana Negara bagi mencapai matlamat mereka untuk menyuarakan bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong melalui memo yang bakal disampaikan. "Istana Negara telah bersedia untuk menerima memo tersebut. Jadi kita mahu berarak daripada masjid negara ke Istana Negara dan berharap polis akan benarkan.

"Kalau penjajah pun boleh membenarkan perhimpunan membantah Malayan Union, takkan kerajaan sendiri pun tak dapat benarkan sedangkan rakyat dianggap sebagai 'tetamu' Istana Negara," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Oleh yang demikian katanya, rakyat tidak perlu bimbang untuk hadir menyertai himpunan ini kerana ianya sah di segi undang-undang walaupun ianya terhad di lokasi tertentu dan berharap seluruh rakyat Malaysia akan sama-sama memberi sokongan kepada perjuangan memartabatkan bahasa.

"Polis dah benarkan dan rakyat tidak perlu takut. Hadirlah bersama keluarga, sahabat atau sesiapa sahaja untuk menzahirkan sokongan seterus membantah dasar PPSMI yang sudah jelas mengundang masalah kepada para pelajar khususnya kepada yang duduk di luar bandar," katanya.

Muhammad Faisal Abdul Aziz Mon Mar 02, 09 9:55:16 pm MYT


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang merupakan badan penggerak Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menyeru seluruh mahasiswa di semua kampus untuk turun beramai-ramai ke Perhimpunan 100 ribu rakyat pada 7 Mac ini bagi membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di hadapan Istana Negara.

Sebelum ini PKPIM telah bertegas menyatakan kesediaan dan kesetiaan untuk bersama-sama GMP menggerakkan perhimpunan 100 ribu di peringkat mahasiswa memandangkan suara kami yang disalurkan melalui pendekatan berlembut masih tidak didengari.

Rentetan itu, PKPIM telah mengambil keputusan untuk melakukan apa saja termasuk untuk turun ke jalanan menggerakkan demonstrasi 100 ribu rakyat sebagai wadah terakhir mendesak pihak pemerintah mendaulatkan kembali martabat Bahasa Melayu.

Sebagai golongan anak muda yang berada pada zaman ketidaktentuan dasar pendidikan negara, kita harus sedar bahawa dasar PPSMI ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan dasar ini menyentuh isu pendidikan negara dan pendidikan secara tidak langsung akan melibatkan generasi pelajar. Maka, dasar seperti ini sebenarnya yang akan menentukan corak dan identiti generasi masyarakat Malaysia pada masa akan datang.

Dalam pada itu, dasar ini juga dilihat akan mengorbankan puluhan ribu anak-anak pelajar luar bandar memandangkan mereka berada dalam suasana yang jauh dari kemudahan untuk memperoleh pendidikan di peringkat asas lebih-lebih lagi dalam soal Bahasa Inggeris.

Berdasarkan situasi tersebut kita dapat melihat bahawa PPSMI ini adalah satu bentuk diskriminasi yang hanya menguntungkan segolongan elit di bandar-bandar saja.

Wajarkah kita berbangga dengan kejayaan segelintir rakyat ke peringkat tertinggi tetapi dalam masa yang sama kita menggagalkan masa depan majoriti besar anak-anak marhein di kampong-kampung?

Kesan dari dasar PPSMI ini tidak akan dirasai oleh generasi pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya akan ditanggung oleh kita sebagai generasi masa hadapan.
Maka, perjuangan untuk menolak dasar PPSMI ini merupakan tanggungjawab yang wajib digalas oleh seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan negara Malaysia.

Maka, sebagai gerakan pelajar yang membawa idealisme anak muda, adalah wajib bagi kita untuk berjuang menjayakan agenda 7 Mac ini.

Biar kali ini kita mencatat sejarah dengan menjadi golongan yang bertanggungjawab mencorak masa depan Malaysia berbanding menjadi golongan yang tidak membuat apa-apa sehingga akhirnya dicaci oleh generasi akan datang.
----Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
sumber :http://www.harakahdaily.net



Alert!!!

by Mahasiswa Penggerak | 9:46 AM in | comments (0)

Waspadalah terhadap website di bawah ini:
1. www.answering-islam.org
2. www.aboutislam.com
3. www.thequran.com
4. www.allahassurance.com
Situs-situs tersebut telah sengaja dibuat oleh kaum Yahudi yang senantiasa gencar menyebarkan pemahaman yang salah tentang Al-Qur'an, Hadits dan Islam
Sekali lagi, mohon agar pesan ini dapat disebarkan kepada seluruh saudara Muslim di dunia.
Selalu waspada dan jeli terhadap semua sumber informasi tentang Islam yang ada di beberapa Islamic Website, meskipun kelihatannya sungguh meyakinkan.

AKTIVITI MAHASISWA BERSATU(PERAK)

by Mahasiswa Penggerak | 8:33 AM in | comments (0)

1. Down To Earth
Lokasi : Kg Gajah
Aktiviti : Ziarah Mesra Bersama Penduduk Kg
Forum Perbincangan Hal Ehwal Kebajikan dan Ekonomi
Lawatan Ke Pasir Salak
Dan Lain-lain...
2. Kem Pemantapan Kepimpinan (KPK BERSATU)
Himpunan Kepimpinan Pelajar-Pelajar Sekolah Perak.
Masa : 3 Hari 2 Malam
Pelbagai Program Menarik Telah Di Sediakan.
Ate tunggu ape lagi yop. Moh same-same dengan BERSATU untuk menjayakan program yang menarik ini. Aje yang benorr.
Sebarang Pertanyaan boleh lah terus menghubungi Saudara Hafez Sabri di 0133190807/0195255990

Rabiul Awal & Maulidur Rasul

by Mahasiswa Penggerak | 3:00 AM in | comments (0)

Pengertian
Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.


2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

3. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.

Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Himpunan Beramai-ramai!!!

by Mahasiswa Penggerak | 9:28 AM in | comments (0)

Perhebatkan Dialog Antara Muslim dan Non Muslim

by Mahasiswa Penggerak | 7:44 PM in | comments (0)

Islam tegak di atas Burhan [ bukti dan dalil ] ! .... demikian antara ungkapan tegas Tok Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada kami rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat di Pejabatnya pagi kelmarin . Al Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Negeri Kelantan ini cukup ramah dan mesra menyambut ketibaan rombongan kami .


Saya memimpin rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam misi lawatan kerjanya untuk mengundang sendiri YAB Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi merasmikan Penubuhan Kem Akademi Kepimpinan Pemuda DPP Pusat di Kok Lanas Kelantan pada 14 Mac 09 kelak sekaligus melancarkan modul terkini Akademi Kepimpinan Pemuda . Alhamdulillah jika tiada halangan , insyaallah majlis perasmian tersebut akan berlangsung dengan jayanya pada 14 Mac nanti disamping ucapan oleh beberapa pimpinan PAS Pusat yang akan dinamakan kemudian .


Sewaktu rancak kami berbincang dan saya menjelaskan tujuan kedatangan kami , Tok Guru sempat mengambil kesempatan untuk memberi amanah dan tazkirah kepada kami yang saya kira sangat tinggi nilai malah sangat bermakna buat kami . Antara yang ditegaskan oleh Tok Guru agar ditangani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat khususnya ialah :


1. Memperhebatkan dialog dengan golongan bukan Islam agar Islam difahami dengan baik dan tiada lagi salah faham terhadap agama Islam . Malangnya lebih 50 tahun negara di tadbir oleh UMNO dan BN tetapi mereka tidak berusaha untuk memahamkan Islam kepada golongan non muslim . Bahkan lebih malang , ummat Islam sendiri telah luntur nilai keislaman mereka .


2. Menekankan agar golongan muda dalam PAS ini memperbanyakkan bacaan justeru Islam berkembang dan Ilmu bertambah melalui pembacaan . Paling tidak satu buku untuk satu bulan atau jika tidak mampu juga , [ penuh sinis kata Tok Guru biarlah satu buku untuk satu tahun .]


3. Mengharapkan agar pemimpin muda dalam PAS dapat menggerakkan perjuangan Islam ini dengan lebih gigih merentas agama dan budaya sehingga dilihat PAS sebagai sebuah jamaah besar untuk rakyat bernaung setelah rakyat putus harap dengan UMNO dan BN , sesuai dengan slogan PAS For All .


4. Jadikan kelantan sebagai model pentadbiran yang telus dan bersih termasuklah melahirkan pemimpin yang tidak boleh dibeli dan dirasuah oleh UMNO dan BN . Sambil menceritakan bagaimana terdapat ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang ditawarkan puluhan juta ringgit untuk melompat parti . Alhamdulillah mereka thabat dengan perjuangan Islam .


5. Jangan gunakan pendekatan menghukum dalam dakwah . " Saya sangat tidak suka sikap kita cepat mengkafirkan seseorang kemudian barulah kalut kita mahu memberi penerangan , Ini tindakan tidak bijak " kata Tok Guru . Terangkan dulu baru jelaskan hukum bukan hukum dulu baru nak bagi penerangan .


6. Pemuda mesti serius untuk lahirkan Tok Guru Muda bagi membawa Islam dengan segala burhannya [ bukti dan dalil ] kepada masyarakat khasnya masyarakat bukan Islam agar mereka dapat memahami Islam dengan baik dan pihak kita juga dapat mempertahankan hujjah dengan baik . " Jangan tonjolkan yang jahil nanti kalah hujjah malu kita " jelas Tok Guru .


Lawatan Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat ke Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan turut disertai oleh Saudara Sabki Yusuf selaku Setiausaha DPPP , Yb . Zaki Ibrahim selaku Bendahari DPPP , Saudara Adram Musa EXCO DPPP , Yb. Ustaz Baihaqi Atiqullah EXCO DPPP , Sdr Zuraidin EXCO DPPP , Dr. Rosli Alani EXCO DPPP , Wan Azimin EXCO DPP Negeri Kelantan dan Sdr Hj. Khairil AJK Akademi Kepimpinan Pemuda DPPP .


JALAN DAKWAH TERBUKA LUAS

JALAN DAKWAH TERBUKA LUAS
NYATAKAN SOKONGAN ANDA DENGAN MELETAKKAN LOGO INI DI BLOG ANDA!

Mahasiswa Penggerak

Meninjau Terus Mahasiswa Daily

Program AnakNegeri

Pengumuman

Pesta Buku & Penulisan 2009 akan diadakan di UIAM pada 9/10/09 sehingga 11/10/09 bertempat di KAED Galeri & KAED Auditorium, Universiti Islam Antarabangsa bersempena Pesta Konvokesyen UIAM.

Bicara Mahasiswa


ShoutMix chat widget

Senarai Artikel

Buku Terbaru Tuan Guru

Detik itu

Selamat Datang

Selamat Datang

Kedatanganmu d'tunggu

Kedatanganmu d'tunggu

Laman Tazkirah



Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)?
Maka tidakkah kamu berfikir?”

(Al-Baqarah, ayat 44)








SENYUM ITU SEDEKAH

SENYUM ITU SEDEKAH

Bersama Mahasiswa Penggerak

HarakahDaily